Tuesday, January 25, 2011

Khusyuk? senang ke susah?


Setiap hari kita solat berapa kali ye?? 5!! Soalan yang rasanya kanak-kanak tadika pun boleh jawab.

Tapi persoalan sebenarnya adakah sepanjang kita solat ni kita khusyuk?? Adakah kita rasa solat kita sudah cukup sempurna untuk diterimaNya? Adakah kita betul-betul meletakkan hati kita ketika kita solat? Dan adakah kita sedar bahawa yang ketika solat ini kita sedang berinteraksi secara ‘live’ dengan pencipta kita? Ya, kadang-kadang kita sedar dan kadang-kadang kita lupa.

‘Asal solat sudah, terima ke tak belakang cerita. Nanti dah tua-tua aku khusyuk la sikit..’

‘Buat apa nak solat lama-lama. Banyak lagi kerja yang tak settle lagi ni..’

Betul-betul. Mungkin ada dalam kalangan kita yang memandang remeh dengan ibadah solat ini. Buktinya, sengaja melewat-lewatkan solat, kalau solat pon mungkin sepantas kilat dah siap. Buat ala-ala kadar la senang cerita. Janji solat.

Solat perkara pertama dihisab.

Ya, ibadah pertama yang akan dihisab ialah solat berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekirannya solat seseorang itu sempurna barulah dihitung amalan-amalanya yang lain.

Sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud,

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalamsembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Jadi kalau kita fikir secara logiknya, kalau seseorang itu hebat berkata-kata, hebat berdakwah, hebat dari segi ilmunya, dan hebat macam-macam lagi la, tapi solatnya sengaja dilengahkan, solatnya tidak begitu khusyuk, solatnya masih belum sempurna, bagaimana penilaian Allah di hari akhirat nanti?

‘Huuiissh, susah la macam nie. Aku selalu je lambat-lambat kan solat, aku selalu xkhusyuk time solat. tapi aku selalu tolong orang lain, aku selalu derma kat mesjid, aku rajin datang usrah, aku selalu dengar ceramah. Tak guna la amalan-amalan aku nie sebenarnya?’

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Memang tidak dinafikan khusyuk dalam solat ini bukan satu perkara yang mudah. Saya akui dan setuju 100%. Jika nak dibandingkan solat kita dengan para sahabat dulu bagaikan langit dengan bumi. Tersangatlah jauh bezanya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sungguh hebat tarbiyah nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabat.

Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati." Benar. Yang dikatakan khusyuk sebenarnya bermula dari dalam hati. Hati itu sentiasa hidup dan merasakan seolah-olah ibadah solat adalah peluang untuk berbicara dengan Allah. Peluang untuk menagih simpati dengan Allah. Peluang untuk berdua-duaan dengan Allah. Peluang untuk menagih cinta Allah.

Bagi saya salah satu strategi untuk meningkatkan rasa khusyuk ketika solat ialah dengan memahami setiap bacaan ketika solat itu bermula dengan takbir sehinggalah saat kita memberi salam. Setiap bacaan itu haruslah difahami. Mungkin sebab kita orang melayu tak berapa faham dengan bahasa arab. Jadi, sekadar menghafal je. Kalau kita tengok orang-orang Arab menunaikan solat ramai di antara mereka yang sebak menahan tangisan. Ini kerana mereka faham ayat-ayat cinta yang dibaca ketika solat itu. Subhanallah, sungguh indah perasaan itu.

Jadi, sebagai seorang yang masih jahil berbahasa arab, marilah sama-sama kita fahami maksud setiap bacaan dalam solat kita. Agar selepas ini kita sama-sama dapat meningkatkan rasa khusyuk kita. Insya’Allah.

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.Sesungguhnya solatku,Ibadatku,Hidupku,MatikuAdalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, Kayakan daku, Angkatlah darjatku, Rezekikan daku, Berilah aku hidayah, Sihatkanlah daku dan Maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberiberkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

No comments: