Thursday, July 28, 2011

Memecut untuk trofi RAMADHAN!


Tinggal 3 hari lagi sebelum tetamu Allah yang dinanti-nanti datang menjengah.
11 bulan yang sudah kita lalui akhirnya Allah mempertemukan kita dengan Ramadhannya kembali. Insya’allah, walau masih berbaki 3 hari mudah-mudahan kita sama-sama dipanjangkan umur bertemu dengan Ramadhan ini.

Persoalannya, sudah cukupkah persiapan kita menghadapi bulan ini?

Bagaimana dengan qiyam? Dah practise bangun malam?

Bacaan quran dah improve ke belum?

Juzu' amma? Dah berapa surah yang dihafal?

Solat-solat sunat? Sunat Dhuha? Sunat Rawwatib? Sunat Wudhuk?

Istighfar dan selawat dah practise?

Mungkin ada yang sedang dalam proses mempertingkatkan ibadah masing-masing, dan mungkin ada juga yang baru tersedar Ramadhan ini perlukan latihan dan stamina. Betul. Tak kan nak tunggu hari pertama ramadhan baru nak start semua?  

Masih berbaki 3 hari untuk kita praktis lagi. Usaha menambah amal ibadah kita sebelum tibanya Ramadhan. 

Sungguh Ramadhan ini benar-benar memerlukan kekuatan, memerlukan stamina, memerlukan mujahadah yang sangat besar. Untuk kita terus menerus mengisi 30 hari dalam sebulan itu. Yang mempunyai hanya 4 minggu, 30 hari, dan 720 jam itu dengan segala kebaikan bagi menggapai keredhaanNya. Dan yang paling utama untuk mendapat piala ‘takwa’. 


3 hari yang berbaki moga sama-sama kita melatih diri. Memperbanyakkan amal ibadah.
Sama-samalah kita membina stamina supaya kala Ramadhan tiba kita bersedia untuk memecut dan memaksimumkan setiap amalan kita! 
GANBAROU! Insya’Allah... J


Allahumma Balighna ya ramadhan.

 Ya ALLAH, sampaikan kepada aku dengan Ramadan "




Monday, July 25, 2011

Kita punya tujuan yang sama.


“ Usrah kau ‘under’ apa? ”

“ Usrah aku dengan _______So far aku rasa selesa la..”

“Usrah dyorank tak best la! Baek ikut yang nie lagi best!’’

………………………….…PENING……………………………………

Mungkin diri ini bukan orang yang layak untuk berbicara tentang isu ini. Tapi sekadar luahan hati yang sungguh ingin mengingatkan diri sendiri dan mereka  yang juga dalam kekeliruan. Kekeliruan?

Alhamdulillah, Allah tidak menguji saya dengan dilema memilih ‘persatuan’ ini. Mungkin kerana diri sendiri punya sifat yang malas mengambil tahu dan memikirkan masalah-masalah yang dirasakan akan memberatkan kepala sendiri. Malas berfikir perkara yang rasanya tak punya kaitan dengan hidup.  Tapi Allah mentarbiyah dengan memberikan sahabat sekeliling yang sedang bertarung dengan dilema. Dilema memilih ‘persatuan’. Dilema ingin berbai’ah dengan siapa. Dilema ingin menjaga hati orang lain. Dilema, Dilema, dan Dilema.

Memang setiap dari kita yang ditarbiyah punya hak dan pilihan sendiri untuk memilih jalan mereka. Punya hak untuk menetapkan dengan siapa mereka akan bersama meneruskan tugas dakwah ini. Tapi walau berbezanya kita, di akhirnya kita punya satu matlamat yang sama. Biar cara kita berbeza, kita tetap ingin menegakkan kalimah Allah., kita tetap ingin membina ustaziatul alam di akhirnya nanti.

“ Akak tau awak tak suka berfikir masalah-masalah ni. Tapi awak kena sedar, masalah mereka masalah kita jugak. Satu hari nanti awak tetap kena berfikir dan memilih…’’

Hanya quote yang diutarakan oleh seorang akhwat yang insya’Allah mengenali diri ini. Dan saya sendiri sedar keperluan untuk mengenal setiap ‘persatuan’ yang wujud, mendalami cara mereka bekerja kerana itu hak mereka untuk orang dikenali terlebih dahulu sebelum orang membuat pilihan.

Tapi isunya sekarang, dakwah kita bukan lagi dakwah secara sirriyah (sembunyi), tapi dakwah secara jahriyah (terbuka). Orang sudah mula mengenali siapa kita sebelum mengenal tarbiyah? Orang sudah mula berfikir ingin masuk ‘persatuan’ yang mana. Sedangkan pemilihan itu seharusnya tidak didahulukan sebelum tarbiyah diri. Kefahaman Ad Deen itu harus diutamakan dan didahulukan. supaya kita sama-sama sedar dan jelas untuk apa dia perlu berbaiah, untuk apa dia perlu bergerak dengan ‘persatuan’ untuk apa dan untuk apa? Sekiranya semuanya tidak jelas, mereka tidak layak untuk memilih.

Sedang diri sendiri masih merangkak dalam tarbiyah, bagaimana ingin memikirkan tentang isu yang besar yakni memilih ‘persatuan’.  Bagaimana ingin berfikir untuk bekerja sedang kefahamn itu masih tidak sampai. Jangan kerana terlampau sibuk melayan dilemma, tarbiyah sendiri semakin kebelakang. Jangan kerana terlampau risau menjaga hati orang lain, diri sendiri yang semakin kering.

Entri ini sungguh sekadar peringatan untuk diri sekiranya satu hari nanti ada yang ‘menyunting’ untuk bersama ‘mereka’ saya sudah jelas dan faham sebelum bertindak membuat keputusan. Insya’Allah. Moga Allah kuatkan hati ini, memandu hati ini…


Pesan buat adik,
Kutiplah sebanyak-banyak ilmu dan kefahaman dari mereka. Seberapa banyak liqa’ yang disertai biar kesemuanya digunakan sepenuhnya. Jangan pernah berasa gundah kerana percayalah Allah yang menyusunnya begitu. Supaya kita dapat belajar dan belajar dari ramai orang. Supaya kita dapat faham dan faham islam itu dengan lebih mendalam. Walau apa yang terjadi jangan pernah mengabaikan tarbiyah diri untuk terus kehadapan. Insya’Allah.

Pesan buat sahabat,
Walau apa yang terjadi kita tetap bersahabat, kita tetap berukhwah kerana Allah. Jangan kerana kita tak sehaluan ukhwah kita semakin pudar, semakin tinggal kenangan. Biar berbeza cara kita, tapi tujuan kita tetap sama. Walau secara jujur hati ini masih berat untuk menerima. Namun, segalanya telah tertulis untuk kita. Terus kuat wahai sahabat…

Moga Allah tetap menyatukan hati-hati kita bersama.


“... dan (Allah سبحانه و تعالى ) Dia-lah Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(QS Al-Anfaal,63)

Saturday, July 23, 2011

Dia menentukan dengan cintaNya.


Perkongsian sekadar muhasabah untuk mengingatkan diri yang diuji.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Di saat Allah masih mahu memberi ujian buat diri untuk mengingatkan hakikat sebagai hamba kepadaNya. Yang sememangnya layak untuk diuji. Dan seharusnya tidak mempersoalkan mengapa dan mengapa sesuatu itu berlaku. Mengapa kehendak ini tidak dituruti. Mengapa permintaan itu tidak dipenuhi?

Seorang hamba yang tidak layak merasakan seolah-olah Allah itu bertindak zalim. Seolah-olah Allah itu tidak melihat usaha yang dilakukan. Seolah-olah Allah itu sengaja memberikan kesusahan. Sedang diri berpenat lelah melakukan segala-galanya. Di mana salahnya? Di mana silapnya?

Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al Baqarah,2:155) "


Step back and reflect! Silapnya ada pada diri sendiri. Silap kerana tidak memandang ujian sebagai anugerah dari Allah. Silap kerana tidak redha dengan ketentuan yang Allah tetapkan. Silap kerana masih mempersoalkan qada’ dan qadarNya. Silap kerana tidak bersangka baik denganNya. Silap kerana tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang selama ini diperoleh.

 “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl,18).

Renung ke dalam diri sedalam-dalamnya. Sungguh setiap ujian yang diberi bukan kerana Dia bersifat zalim, bukan kerana Dia mahu menyiksa, bukan kerana Dia membenci, bukan juga kerana Dia tidak mengerti isi hati hamba-hambaNya. Tapi atas dasar kasih sayangNya. Atas dasar kerinduanNya.  Demi sebuah cinta yang tidak mahu hamba-hambanya lalai sekiranya permintaan itu dipenuhi. Demi sebuah cinta yang tidak mahu hamba-hambaNya terus menerus menjauh dariNya. Demi sebuah cinta yang  maha mengetahui hamba itu masih belum cukup bersedia untuk dipenuhi permintaannya. Dan demi sebuah cinta yang merindui rintihan hamba-hambaNya.

Iktibar kisah Nabi Yusuf.

Allah memberikan kita sebuah kisah di dalam al-quran. Kisan Nabi yusuf hidupnya punya pasang dan surut. Satu persatu ujian yang datang menimpanya, dari ujian kurniaan yang besar kepada kehinaan darjat kemuliaannya, dari rasa aman dan bahagia kepada rasa keperitan dan kesedihan. Bermula dengan kisah Nabi yusuf yang dipisahkan dengan ayahnya, dijauhkan dari kesenangan hidup, dikerah menjadi hamba yang tak punya kebebasan, difitnah, dipenjara. Dan kemudia barulah diberikan jawatan dan kesenangan hidup.

Tapi adakah Nabi yusuf itu mengeluh tatkalan Allah mengujinya dengan ujian yang amat dahsyat? Adakah dia mempersoalkan mengapa dia diperlakukan sebegitu sedang diri tidak melakukan kesalahan? 

Malah apakah yang diperkatakan oleh Nabi Yusuf kepada Allah?
‘………..Dan sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikannya kenyataan. Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara  dan ketika membawa kamu dari dusun,…..” ( Surah Yusuf, 12:100)

Subhanallah. Selepas ditinggalkan seorang diri, dirampas segala kesenangan dan kebebasan hidup, dihina, difitnah, hidup dengan penuh kerendahhan di dalam penjara. Ternyata segalanya tak pernah berbekas di hatinya. Terus redha dengan apa yang Allah tetapkan untuknya, dan selepas semuanya berlaku Nabi Yusuf mengaku bahawa, ‘Tuhanku telah berbuat baik kepadaku…“

Ya Allah, siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan golongan-golongan terdahulu yang diuji? Besar sangatkah ujian yang kita terima?


Dia yang mencipta ujian dan Dia yang memujuk dengan caraNya sendiri. Ujian itu satu anugerah. Ujian ini satu tarbiyah. Ujian ini satu hadiah terindah. Moga Allah menetapkan hati ini untuk redha dengan segala yang ditetapkan buat diri. Moga Allah memberi diri ini kekuatan untuk tidak mengeluh di saat keinginan tidak dipenuhi. Kerana Dia menentukan segala-galanya dengan cintaNya.   

Wednesday, July 20, 2011

Jangan Tanyakan Aku : La Tas'aluni


 Jangan tanyakan aku tentang hidupku,
Ia adalah sebuah rahsia kehidupan,
Ia adalah anugerah,
Ia adalah ujian,
Ia adalah dunia yang penuh dengan cita-cita,
Aku telah menjualkannya kepada Allah,
Kemudian aku berjalan dalam barisan para pembawa petunjuk.

Dan jalan hidupku adalah,
Al-Qur’an, pedang, dan ujian,
Allah telah memberkatinya dan para nabi terdahulu telah melaluinya,
Para syuhada’ telah menyirami jalan ini dengan darah mereka,
Maka jadilah ia taman indah yang dikelilingi cahaya.

Sedangkan penghujung perjalananku adalah,
Apa yang meredhakan Allah dan apa yang diinginkanNya,
Keuntungan dengan kemenangan nyata,
Atau kesyahidan dan keabadian,
Jika engkau telah berada di muka bumi,
Dan engkau tahu umurmu terbatas,
Maka jadilah pahlawan dan pembawa petunjuk,
Jika tidak alangkah buruknya kewujudanmu.
:: La Tas'aluni - Muhammad al-Husayyan ::


Sunday, July 17, 2011

Dakwah kita, perjuangan kita.


Sunnatullah dakwah ini sifatnya penuh dengan kesukaran. Ada masa kita di atas dan kebanyakan masa kita di bawah. Ada masa kita menerima kesenangan dan kebanyakan masa dengan dakwah kita diuji dan ditimpa kesusahan. Dakwah itu menjanjikan seribu kesedihan, kepenatan, dan kesukaran.
Di jalan dakwah inilah rasulallah dicaci, dihina, dilempar dengan batu-batu sehingga cedera tubuhnya, dilonggok najis ternakan diatas lehernya, dibenci dan dimaki.
Di jalan dakwah inilah Khabbab Al ‘Arat hancur daging-daging di belakang tubuhnya kerana dibaringkan diatas bara api yang sangat panas kerana keinginannya untuk mendakapi dakwah Rasulullah.
Di jalan dakwah inilah Zinnirah dibutakan matanya saat dia membeli kesusahan dunia demi mendapat kesenangan di akhirat dengan mempertahankan agama Allah.
Walau seberat mana ujian yang mendatang, mereka tetap memegang berada dalam dakapan dakwah, tetap menegakkan al haq, masih mengingati janji-janji Allah. Biar terkorban segala nikmat dunia demi sebuah syurga Allah yang pasti. Itu himmah mereka. Itu semangat mereka dalam mendakapi dakwah itu. Jika bukan golongan terdahulu yang berkorban, islam itu tidak sampai pada kita.
Dan hari ini? Siapa yang akan menyambung perjuangan mereka? Siapa yang akan menjadi mata-mata rantai dakwah itu? Siapa? Dia? Kau? Mereka? Atau kita sendiri yang harus bangun?
Jika kesenagan yang dirasai, bukan dakwah namanya. Jika kelapangan yang dirasai, bukan dakwah namanya. Jika keseronokan yang dirasai, bukan dakwah namanya. Kerana dakwah itu sunatullah bersifat sukar dan penuh kepayahan.
Dan di akhirnya apa yang Allah janjikan? Apa yang Allah jaminkan buat mereka yang sanggup berkorban demi agamaNya?
“Wahai orang-orang beriman!  Mahu kah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”
“(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui,
Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan ketempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung.”
(As Saff: 10-12)
Moga Allah memberikan diri ini kekuatan meneruskan perjuangan ini. Kita bekerja bukan kerana ikutan, bukan kerana paksaan, bukan kerana suruhan. Tapi kita bekerja kerana kita sedar akan tanggungjawab kita, kita bekerja kerana Allah.
Sungguh benar beruntung orang-orang yang telah dipilih Allah untuk berada di jalan Al-Haq, jalan kebenaran, jalan menyeru manusia lain kembali kepada islam meskipun jalan ini menunut seribu pengorbanan. Tidak ada pilihan lain melainkan tunduk dan patuh. Demi janjiNya yang pasti, Demi kasih sayangNya yang tak berbelah bagi.
Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
( At Taubah, 9:100)


“ Ya Allah, pinjamkan kami keberanian dan  ketangkasan sahabat-sahabat terdahulu, ketabahan dan kecekalan hati-hati mereka yang telah kau pilih untuk terus tegar mencintai jalan dakwahmu ini

.......

Dengan nama Allah Ar Rahman Ar Rahim,
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk  diri ini mencoretkan kata-kata di sini. Setelah beberapa hari pulang dari Aussie baru hari ini berkesempatan untuk menulis. 
Bukan berniat untuk mendiamkan diri, tapi sungguh diri ini sedang mencari sesuatu yang dirasakan hilang, masih mencari dan mencari. Moga Allah kuatkan hati untuk terus istiqamah di jalanNya.

ALLAH, jangan dibiar hati ini mengeras,
ALLAH, jangan dibiar diri ini keseorangan,
ALLAH, jangan dibiar hamba ini lemah,
ALLAH, jangan dibiar hamba ini lalai,
ALLAH, jangan dibiar hamba ini futur…

Ingatkan aku dengan ujian-ujianMu Ya Allah.
Ajarkan aku dengan tarbiyah-tarbiayhMu Ya Allah.
Yakinkan aku dengan janji-janjiMu Ya Allah,
Untuk diri ini bangun dari lenaku.

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu : "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal ditempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (QS. 9:38)

Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, niscaya Allah akan menyiksa dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (QS. 9:39)


“Ya Rabb, teguhkan langkah ini demi janjiMu…”