~Mari bicara soal CINTA~
Aishiteru? I love you? Saya sayang awak?
Apa itu cinta? Bagaimana cinta boleh wujud? Kenapa kita perlukan cinta?
Pelbagai persoalan bermain difikiran tika berbicara soal cinta.
Cinta pada siapa? Cinta pada Allah, pada ibu bapa, ahli keluarga, nenek, atok, opah, tok wan, tunang, isteri, suami dan sesiapa sahaja. Bak kata orang, ‘cinta itu buta.’ Tidak mengenal rupa, tidak mengenal usia, tidak mengenal pangkat mahupun darjat.
Namun? Siapa yang selayaknya menerima cinta sejati kita? Hmmm..
Definisi CINTA
Menurut Imam al Ghazali, cinta itu ialah kecenderungan jiwa yang amat kuat dalam diri seseorang kepada sesuatu atau seseorang yang lain yang boleh memberi kelazatan, manfaat dan sangat serasi dengan fitrahnya.
Apa fitrah manusia sebenarnya?
Setiap manusia sangat menyenangi sifat keindahan dan kesempurnaan. Jika difikir-fikir balik siapa yang pling sempurna dan paling indah ye? Ibu kita?? My mum is the best! Ayah kte?? Hmm, mcm pelik pulak sebab lelaki kan.
Siapa yang Maha Sempurnaa dan Maha Indah? Tentu skali Allah Azza Wajalla. Oleh yang demikian, Allah yang paling layak untuk jadi tujuan kecintaan kita.
Bila berbicara soal cinta, kita tidak terlepas dari bicara soal hati dan rasa. Ya! Cinta itu letakya dalam hati. Dan hati ini ibarat raja dalam tubuh manusia.
Sabda rasulallah yang bermaksud :
“ .....Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sekiranya jahat daging itu, maka jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati....”
Jadi, di sini kita dapat lihat bahawa hati ini sebenarnya dikuasai oleh cinta. Jika cinta yang bersemi dalam hati ini baik, maka baiklah hati itu dan baik jugaklah anggota badannya. Namun, jika cinta yang disemai dalam hati itu buruk maka hodohlah hati itu dan bertambah buruk jugalah anggota badannya.
Cinta. Soal rasa dan hati.
Cinta sebenarnya bukan satu paksaan, bukan juga satu pemikiran, tapi cinta ialah soal rasa yang datang dengan sendrinya dari hati. Oleh itu, berhati-hatilah dalam menyemai rasa cinta dalam hati supaya tidak terpedaya dengan helah cinta-cinta palsu yang akhirnya akan membinasakan diri.
Bagaimana benih cinta yang ditanam di dalam jiwa, maka begitulah pohon yang akan tumbuh dan berbuah pada fikiran dan seluruh tindakan kita di akhirnya.
Kenapa susah sangat nak cinta pada Allah?
Satu lagi persoalan yang wajar dipersoalkan pada diri sendiri. Secara logiknya Allah itu layak menjadi raja yang bertakhta dalam hati kita. Hanya Allah yang wajar menjadi cinta pertama dan terakhir kita. Kerana hanya Dia maha memiliki segala-gala yang tidak kita punyai. Tapi kenapa? Kenapa walaupun kita tahu tapi masih sukar untuk melaksanakan sepenuhnya? Kenapa? Tepuk dada tanyalah iman.
Sesungguhnya penghalang utama cinta sejati kita ialah kejahilan. Bak kata pepatah melayu “ tak kenal maka tak cinta.” Sebagai contoh, kalau kita sayang kawan kita mesti berusaha untuk memenuhi segala kehendak dia. Kita berusaha untuk kenal dia sebenar-benarnya. Kita ambil tahu segala kegemaran dia. Kita ambil tahu perkara yang tidak disukai. Supaya senang untuk kita mengambil hatinya. Dan supaya hubungan menjadi bertambah erat. Jadi, mari kita aplikasi method ini dalam memperolah cinta Allah. Sesungguhnya cinta Allah itu mahal harganya. Hanya mereka yang bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban akan memperolehnya dengan izin-Nya. Ayuh usaha untuk lebih mengenaliNya.
Jadi di sini kita dapat lihat peri pentingnya untuk kita mengenal pencipta kita demi memupuk rasa cinta kita padaNya. Disebabkan oleh kejahilan ini lah kita tidak mengenali segala kebaikan, kesempurnaan serta keindahanNya. Kerana kejahilan ini jugalah kita tidak tahu bahawasanya hanya Dia lah yang selama ini menjadi peneman kita di kala suka dan duka, di kala senang dan susah Di saat diri berada dalam kesepian, di saat diri diselubungi kegelapan, di saat diri ditimpa kesusahan. Hanya Dia yang sudi bersama kita.
Firman Allah yang bermaksud :
“ Dan apabila hambaku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku, agar memperoleh kebenaran “
( Surah Al Baqarah 2:186 )
“ Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. “
( Surah Al Qaf 50:16 )
Melalui kedua-dua ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah itu sentiasa dekat dengan kita. Dekat. Lebih dekat dari urat leher kita. Hanya kita yang diberi akal ini harus berfikir untuk lebih mensyukuri rasa sayang yang dilimpahkan Allah kepada kita.
Tapi diri ini masih jahil. Diri ini masih degil. Seringkali menjauhkn diri dariNya Sering meninggalkanNya di saat kesenangan menimpa. Seringkali melanggar perintahNya. Seringkali lupa akan nikmat-nikmat yang diberikanNya.
Namun pabila kedukaan melanda terhegeh-hegeh melutut menangis di depan-Nya. Siapa kita sebenarnya? Layakkah kita untuk melayan Dia sebegitu rupa? Hanya ingat di saat susah. Tapi lupa di saat senang. Lupakah kita bahawa segala kebahagiaan itu datang dari-Nya.
Astagfirullah hal ‘azim. Sungguh lemah diri ini ya Allah..
Cinta yang terpisah!
Dewasa ini kita lihat ramai manusia yang terpisah dengan cinta sejatinya sejak dari awal kelahiran. Mungkin disebabkan oleh didikan awal yang diterapkan oleh ibu bapa terhadap mereka. Sistem pendidikan tidak bertitik tolak daripada 'awwaluddin makfiratullah' ( awal agama adalah mengenai Allah) tidak diberikan. Sebaliknya mereka mula diperkenalkn kepada 'selain Allah' yang akhirnya menyebabkn kecintaan pada Allah di alam roh itu terputus di tengah jalan.
Firman Allah yang bermaksud :
“ Bukankah Aku ini TuhanMu? Maka semua ( roh manusia ) menjawab, 'Benar (Engkaulah Tuhan kami dan kami menjadi saksi).”
( Surah al 'Araf 7:172)
Benar. Sejak dari alam roh semua manusia mengakui bahawa hanya Allah yang menjadi rob nya. Namun, setelah mereka berada di alam dunia, tidak semua bernasib baik bertemu dengan cinta sejati mereka kembali.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Tiada seorang bayi pun yang lahir melahirkan dilahirkan atas fitrah. Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya (beragama) Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”
( Riwayat al-Bukhari )
Sekarang mari kita perhatikan, apa lagu yang biasa masyarakat hari ini dengar? Apa filem yang kerap ditonton? Apa majalah yang sering dibaca? Semua ini bakal mempengaruhi minda yang akhirnya akan memupuk rasa cinta dan sayang pada yang selainNya yakni mencintai duniawi.
Satu hati. Satu jiwa.
Setiap dari kita hanya memiliki satu hati. Tidak ada dua, tidak ada tiga dan tidak ada empat. Hanya SATU. Saya ulang, kita hanya punya satu hati. Hanya satu cinta saja yang bias berkumpul dalam satu jiwa. Bila cinta yang disemai dalam diri bukan cinta pada Allah, cinta yang lain akan datang mengganti. Dua cinta tidak boleh berkumpul dalam satu hati.
Jadi, bila cinta Allah sudah terpinggir, maka hilanglah segala kebaikan dan kesucian. Yang selama ini tertanam dalam hati dan jiwa kita sejak di alam roh lagi. Maka, segala kekejian dan kekejaman akan muncul dalam diri. Kesannya, kini kita lihat masyarakat sudah ramai yang berani melanggar perintah Allah. Kes rogol, zina, buang bayi, liwat, dadah. Semua ini bermula dengan hati yang kotor. Hati yang tidak mengenal penciptaNya. Hati yang tidak takut melaggar perintahNya. Maka muncullah syaitan-syaitan bertopengkan manusia. Bertindak mengikut hawa nafsu semata!
Firman Allah yang bermaksud :
“ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah ( membiarkan sesat ) ? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? “
( Surah Al-Jasiyah 45:23 )
Cinta Allah melebihi segalanya.
Setiap muslim sewajibnya mencintai Allah dan rasul lebih dari segala-galanya. Rasa cinta kita pada Allah mesti melebihi rasa cinta kita ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, rakan seperjuangan bahkan diri kita sendiri.
Firman Allah yang bermaksud :
“ Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri ( atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbangkan merosot, dan rumah-rumah temoat tinggal yang kmu sukai, jika semua itu menjadi perkara-perkara yang kamu sukai leibih daripauda Allah dan rasulNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya kerana Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”
(Surah At-taubah 9:24)
Kembali kepada-Nya. Ayuh!
Ramai daripada kita yang masih lagi dibelai dan dimanjai oleh 'cinta palsu'. Cinta yang meresap kedalam hati, jiwa dan perasan bukan lagi cinta kepadaNya semata-mata.
Namun, ada yang bernasib baik bertemu dengan cinta sebenar melalui tarbiyyah. Embun hidayah melimpah dengan tiba-tiba, lalu tersentak mereka dari lamunan. Tersedar mereka dari cinta palsu yang selama ini merajai jiwa dan raga. Sesungguhnya ada cinta yang lebih hakiki yang sewajarnya dicari. Walaupun padanya kadangkala terasa agak terlewat, namun perlu yakin dan percaya bahawa perancangan Allah itu adalah yang terbaik.
Dan aku....
Adalah antara mereka yang disedarkan oleh percikan embun hidayah itu. Alhamdulillah! Syukur padaMu ya Allah. Moga terus diberi kekuatan untuk terus tetap di jalan ini.
“ Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati ini, tetapkanlah kami untuk terus berada di jalanMu ini “
Carilah cintaNya. Gapailah cintaNya. Genggamlah cintaNya. Kerana hanya Dia yang benar-benar sempurna dan layak bertakhta di dalam hati kita yang bergelar hamba.
No comments:
Post a Comment