Monday, May 16, 2011

Selamat Hari MUROBBI.


Sempena hari guru yang disambut hari ini, tergerak untuk menulis berkenaan hari guru. Tambahan buat diri yang bakal bergelar guru, sebuah artikel yang ingin mengingatkan diri kembali tanggungjawab sebenar ketika bergelar seorang guru.

“ Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal shaleh dan berkata, “ Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (QS. 41 : 33 )

Saya lebih senang untuk menggunakan perkataan murabbi bagi menggantikan term guru. Sesungguhnya seorang murabbi itu bukan hanya bertindak sebagai guru, malahan juga bertindak sebagai qiyadah ( pemimpin ), walid ( orang tua ), dan shohabah ( sahabat ) bagi mad’unya.

Siapa yang rasa dia layak menjadi murabbi?

Menjadi pencorak masa hadapan generasi akan datang?

Menjadi qudwah untuk mereka contohi?

Tiada siapa yang yakin dia benar-benar layak. Ya, tidak ada manusia yang begitu sempurna untuk menjadi murabbi. Namun persoalannya apa yang kita inginkan sebagai bekalan untuk balik kepada Allah SWT? Setiap kelemahan diri itu perlu diperbaiki demi menjalankan tanggungjawab menyebarkan kefahaman islam.

Melihat kembali zaman persekolahan saya, teringat bagaimana kita banyak dipermainkan oleh agenda-agenda barat. Sistem sekularisme yang diterapkan sudah cukup untuk menutup mata kita yang belajar sekadar untuk peperiksaan dan bukan untuk kefahaman. Tidak menyedari peri penting setiap isi kandungan pelajaran.

Saya berani jamin, siapa yang masih ingat peristiwa pembukaan mekah?

Siapa yang masih ingat isi-isi perjanjian aqabah?

Siapa yang masih ingat perjalan dakwah rasulullah menyampaikan islam?

Kesemuanya pernah dipelajari dahulu, namun kita belajar sekadar untuk menjawab peperiksaan. Bukan untuk difahami. Sedangkan kesemuanya berkait rapat dengan agama kita sendiri. Islam ketika itu ibarat minyak dan kita ibarat air. Ada pemisah di antaranya. Islam itu seolah-olah tersangat jauh dan asing dengan kita.

Sebab apa? Sebab hati itu tidak dididik untuk memahaminya. Di saat akidah masih lagi lemah, di saat pegangan masih lagi kabur, di saat Al-quran masih lagi jauh, bagaimana mata hati ingin terbuka memahami setiap apa yang dipelajari.  Tahniah buat warga barat yang telah berjaya mengaburi mata-mata kami.

Setiap dari kita seharusnya dididik dan dijelaskan dengan matlamat hidup yang sebenar. Supaya setiap apa yang dipelajari mampu difahami dengan mata hati dan kemudiannya menjadi pembakar semangat untuk bergerak membangunkan islam itu sendiri. Supaya islam itu benar-benar meresap ke dalam diri kita dan sama-sama bergerak sebagai ad-deen yakni cara hidup kita yang sebenar dan bukan lagi sesuatu asing. Insya’Allah. Sama-sama berusaha menjadi golongan yang bermanfaat buat orang lain.


Buat bakal-bakal guru, sama-sama berusaha menjadi guru dan murabbi yg terbaik untuk ummat. ^_^

Akhir kata, katakan TIDAK pada sekularisme! 

No comments: