Dengan nama Allah Ar Rahman Ar Rahim.
Wahai diri yang sering alpa dan leka,
Sudahkah kau buka setiap pagimu dengan rasa syukur?
Tatkala Dia telah menghidupkan dikau dari kematian yang sebentar?
Sudahkah kau memohon perlindungan dari hasutan-hasutan syaitan dari Nya?
Sudahkah kau membasuh fikiran, pendengaran dan penglihatanmu dari cela dan dosa?
Sudahkah kau meminta diberi kekutan dan kesabaran dalam sujudmu dihadapanNya?
Wahai hati yang sentiasa berbolak-balik,
Tidak ada jalan lain buat diri yang lalai dan leka kecuali dengan bangun dan bermujahadah,
Hati ini boleh berkarat, dan pencucinya ialah Al-Quran,
Hati ini boleh berkarat dan pencucinya ialah berzikir,
Hati ini boleh berkarat dan pencucinya ialah mengingati Allah.
Wahai hati yang mendambakan ketenangan,
Tidak mengapa sekiranya hatimu terganggu oleh kerenah manusia dan mainan rasa,
Namun, ubatilah dengan segera mencapai kitabNya Al-Quran,
Bacalah! Kerana di situ letaknya hakikat menjana kekuatan jiwa.
Carilah hatimu kembali,
Walau terasa diri diselubingi selimut dosa dan kemelut alpa,
Jangan sekali-kali berputus asa.
Kerana Dia tidak pernah menutup pintu keampunannya,
Selagi matahari masih memancarkan cahayanya,
Pohonlah ampunan darinya,
Pohonlah ampunan darinya,
Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan.
Wahai diri,
Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh,
Jangan memburu fatamorgana hanya untuk ditipu olehnya,
Jangan jadi seperti anjing rakus yang memburu bangkai dunia,
Dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan sebagai pengembara adalah bekalan takwa,
Sebaik-baik pelindung adalah perlindungan Al-Quran.
Wahai orang yang bermujahadah,
Tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di penghujung jalan.
Cukup sekadar kau telah menempuh jalan yang sama,
Kerana ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya terletak di hujung jalan,
Bahkan di sepanjang perjalanan itu, Jalan mujahadah itu susah tapi indah,
Carilah hatimu kembali, dan tatkala kau menemuinya peliharah ia sebaiknya.
:: Mood-mencari hati yang hilang. L Moga diberi kekuatan untuk terus bermujahadah di jalanNya ::
No comments:
Post a Comment