Saturday, July 23, 2011

Dia menentukan dengan cintaNya.


Perkongsian sekadar muhasabah untuk mengingatkan diri yang diuji.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Di saat Allah masih mahu memberi ujian buat diri untuk mengingatkan hakikat sebagai hamba kepadaNya. Yang sememangnya layak untuk diuji. Dan seharusnya tidak mempersoalkan mengapa dan mengapa sesuatu itu berlaku. Mengapa kehendak ini tidak dituruti. Mengapa permintaan itu tidak dipenuhi?

Seorang hamba yang tidak layak merasakan seolah-olah Allah itu bertindak zalim. Seolah-olah Allah itu tidak melihat usaha yang dilakukan. Seolah-olah Allah itu sengaja memberikan kesusahan. Sedang diri berpenat lelah melakukan segala-galanya. Di mana salahnya? Di mana silapnya?

Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al Baqarah,2:155) "


Step back and reflect! Silapnya ada pada diri sendiri. Silap kerana tidak memandang ujian sebagai anugerah dari Allah. Silap kerana tidak redha dengan ketentuan yang Allah tetapkan. Silap kerana masih mempersoalkan qada’ dan qadarNya. Silap kerana tidak bersangka baik denganNya. Silap kerana tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang selama ini diperoleh.

 “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl,18).

Renung ke dalam diri sedalam-dalamnya. Sungguh setiap ujian yang diberi bukan kerana Dia bersifat zalim, bukan kerana Dia mahu menyiksa, bukan kerana Dia membenci, bukan juga kerana Dia tidak mengerti isi hati hamba-hambaNya. Tapi atas dasar kasih sayangNya. Atas dasar kerinduanNya.  Demi sebuah cinta yang tidak mahu hamba-hambanya lalai sekiranya permintaan itu dipenuhi. Demi sebuah cinta yang tidak mahu hamba-hambaNya terus menerus menjauh dariNya. Demi sebuah cinta yang  maha mengetahui hamba itu masih belum cukup bersedia untuk dipenuhi permintaannya. Dan demi sebuah cinta yang merindui rintihan hamba-hambaNya.

Iktibar kisah Nabi Yusuf.

Allah memberikan kita sebuah kisah di dalam al-quran. Kisan Nabi yusuf hidupnya punya pasang dan surut. Satu persatu ujian yang datang menimpanya, dari ujian kurniaan yang besar kepada kehinaan darjat kemuliaannya, dari rasa aman dan bahagia kepada rasa keperitan dan kesedihan. Bermula dengan kisah Nabi yusuf yang dipisahkan dengan ayahnya, dijauhkan dari kesenangan hidup, dikerah menjadi hamba yang tak punya kebebasan, difitnah, dipenjara. Dan kemudia barulah diberikan jawatan dan kesenangan hidup.

Tapi adakah Nabi yusuf itu mengeluh tatkalan Allah mengujinya dengan ujian yang amat dahsyat? Adakah dia mempersoalkan mengapa dia diperlakukan sebegitu sedang diri tidak melakukan kesalahan? 

Malah apakah yang diperkatakan oleh Nabi Yusuf kepada Allah?
‘………..Dan sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikannya kenyataan. Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara  dan ketika membawa kamu dari dusun,…..” ( Surah Yusuf, 12:100)

Subhanallah. Selepas ditinggalkan seorang diri, dirampas segala kesenangan dan kebebasan hidup, dihina, difitnah, hidup dengan penuh kerendahhan di dalam penjara. Ternyata segalanya tak pernah berbekas di hatinya. Terus redha dengan apa yang Allah tetapkan untuknya, dan selepas semuanya berlaku Nabi Yusuf mengaku bahawa, ‘Tuhanku telah berbuat baik kepadaku…“

Ya Allah, siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan golongan-golongan terdahulu yang diuji? Besar sangatkah ujian yang kita terima?


Dia yang mencipta ujian dan Dia yang memujuk dengan caraNya sendiri. Ujian itu satu anugerah. Ujian ini satu tarbiyah. Ujian ini satu hadiah terindah. Moga Allah menetapkan hati ini untuk redha dengan segala yang ditetapkan buat diri. Moga Allah memberi diri ini kekuatan untuk tidak mengeluh di saat keinginan tidak dipenuhi. Kerana Dia menentukan segala-galanya dengan cintaNya.   

No comments: