Sesungguhnya syurga Allah itu mahal. Perjalanan menuju keredhaanNya itu pahit, terkadang diuji keimanan, diragut keikhlasan. Namun belilah dengan harga mujahadahmu.
Bantu aku untuk terus ikhlas di jalanMu ya Allah.
Sekadar perkongsian sebagai peringatan buat diri. Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasaai. Moga ibrahnya dapat kita peroleh bersama. Insya'Allah~
Abu Hurairah lah.a berkata. Aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda:,
Sesungguhnya orang pertama yang dihakimi pada hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Di datangkan kepada beliau segala amalannya seterusnya dia akan disoal:
Apakah yang telah kamu lakukan?
Jawabnya. Aku telah berperang keranamu Ya Allah sehingga aku mati syahid.
Di katakan kepadanya lagi: Kamu telah berbohong!. Malah kamu berperang supaya orang berkata kamu berani!, dan mereka telah pun mengatakan (di dunia),kemudian diseret mukanya dan dicampakkan ke lubang neraka.
Kemudian didatangkan pula seorang penuntut dan penyampai ilmu (pendakwah) yang juga merupakan pembaca al-Quran.
Kemudian dihadapkan kepadanya segala amalan yang telah dilakukan di dunia, dan dia mengakuinya.
Justeru itu dia ditanya: Apakah yang telah kamu lakukan?
Jawabnya. Aku telah belajar dan mengajar ilmu. Aku juga membaca al-Quran, semuanya keranamu Ya Allah.
Kemudian Allah menjawab: Bohong!, bahkan kamu belajar supaya orang kata kamu ‘alim, dan kamu baca al-Quran supaya orang kata kamu seorang qari. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia.
Setelah itu dia diseret dan dicampakkan ke dalam neraka.
Akhirnya dibawakan pula seorang yang dikurniakan harta benda serta kemewahan hidup di dunia, dan dia juga mengakui segala nikmat yang dikecapinya.
Kemudian dia disoal: Apakah yang kamu lakukan dengan harta benda tersebut?
Jawabnya. Aku tidak akan tinggalkan satu peluang bantuan yang engkau sukai Ya Allah sehingga aku akan keluarkan wang bantuan keranamu Wahai Tuhan.
Allah menjawab: Bohong!, tetapi kamu keluarkan bantuan tersebut supaya orang katakan kamu seorang yang pemurah. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia.
Akhirnya dia juga diseret dan dihumbankan ke dalam api neraka.
Apabila Saidina Muawiyah lah.a. mendengar hadis ini, beliau menangis sehingga tidak sedarkan diri, apabila sedar beliau berkata:
Benarlah firman Allah swt dan sabda Rasul-Nya. Allah swt juga telah berfirman dalam surah Hud ayat 15-16. Mafhumnya: Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami akan berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna, tanpa apa-apa kerugian. Itulah orang-orang yang tidak beroleh sesuatu di hari akhirat melainkan api neraka yang marak menyala.
(Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasaai)
Hadith ini sangat berkait rapat dengan entri pada hari ini. Betapa mahal syurga Allah itu. Tanpa KEIKHLASAN dalam amalan yang dikerjakan sesunguhnya ia hanyalah sia-sia belaka. Hanya mereka yang mampu menilai dengan mata hati mampu merasainya.
Bertanya pada diri sendiri. Adakah segala amalan kita selama ini diterimaNya? Adakah kita rasa diri kita sudah cukup untuk masuk ke dalam syurgaNya? Ayuh bernafas dalam jiwa seorang hamba. Hamba yang sangat lemah dan lemah dan sesungguhnya perlu berusaha lebih keras untuk merebut cinta dan syurgaNya!
~Kerana syurga itu mahal~
1 comment:
ya Allah.. tanamkanlah keikhlasan itu dalam apa jua yang aku lakukan keranaMu. jauhi aku dari riak dan ujub dalam hati. Moga kau menerima amalan2 yang tidak seberapa ini..
amin..
Mujahadah itu pahit,
Syurga itu manis!
^^.
Post a Comment