Monday, February 28, 2011

Belajar Kerana Allah



Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:


“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim )

Hadis pertama dalam hadis 40 ini saya bawakan untuk mengisi jiwa dan memperingatkan diri yang kini baru saja memulakan semester baru. Ya, sekolah baru saja bermula! Semoga kita sama-sama dapat menginatkan diri kembali tujuan kita hidup supaya segala apa yang kita lakukan tidaklah sia-sia.

Teringat satu peristiwa ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Auckland. Ketika kakak-kakak mempertemukan semua pelajar-pelajar baru untuk sesi suai kenal.

“ Adik, apa harapan adik bila dah datang Auckland nie? “

Emm, lama jugak termenung nak fikir jawapan paling bernas.

“ Untuk dapat result cemerlang. Balik dengan segulung ijazah untuk banggakan mak dan abah “

Dan pada masa tu inilah jawapan yang saya beri. Rasa macam dah mantap ayat nie. Jawapan yang paling tepat mungkin. Haha.

Di saat ini bila muhasabah diri balik, sungguh ceteknya pemikiran saya. Impian hidup hanya berhenti setakat itu memperoleh result cemerlang. Lepas tu? Habislah. Dan inilah dia impian jangka pendek yang sifatnya hanya sementara. Adakah kita yakin bahawa kita semua masih lagi diberi peluang untuk bernafas di bumiNya hingga kita tamat pengajian? Sekiranya kita dipanggil di pertengahan jalan, sungguh impian itu tidak akan terlaksana. Dan alangkah rugi diri ini kerana tidak menyediakan apa-apa bekal sepanjang perjalanan hidup untuk dihadapkan di mahkamahNya.

Hadis pertama ini mengupas peri pentingnya niat dalam kehidupan seharian kita. ‘compass setting’ semula niat kita. Untuk apa kita belajar? Untuk apa diri ini berpenat lelah menghadiri kelas dan tutorial? Untuk apa diri ini menghabiskan masa di lab membuat experiment selama 6 jam dalam seminggu? ( khas untuk budak physicsmacam saya ) Untuk apa? Dan untuk apa? Adakah hanya kerana kita nak dapat keputusan cemerlang? Menjadi kebanggaan keluarga? Menjadi kebanggaan sponsor? Menjadi kebanggaan dalam kalangan rakan-rakan? Atau kita punya matlamat yang lebih besar?

Belajar adalah ibadah.

Setiap apa yang kita lakukan jika disertakan niat keranaNya semata-mata, insya’Allah akan diganjarkan pahala di sisiNya. Harus ada niat belajar demi mencari keredaanNya. Belajar demi menjadi seorang yang cemerlang di mata masyarakat untuk menyampaikan agama islam. Belajar demi menjadi murabbi (pendidik) yang dapat mendidik anak muridnya ke jalan yang benar. Bukan hanya belajar kerana segulung ijazah semata-mata.

Sebagai seorang individu yang ditarbiyah harus punya impian yang lebih besar dan besar. Impian untuk mengembalikan kegemilangan islam ke muka bumi. Impian untuk menyeru manusia supaya kembali semula ke jalan hidup yang sebenar. Dan sempena bermulanya persekolahan saya pada esok hari, moga diri diberi kekuatan dan semangat baru. Menuntut ilmu demi mencari keredhaanNya. Perlu belajar bersungguh-sungguh kerana kita punya satu visi yang harus dilaksanakan. Memperoleh keputusan cemerlang sebagai satu wadah menjadi ‘seseorang’ untuk menyampaikan kebenaran dan menyentuh jiwa-jiwa mereka di luar sana. Insya’Allah~


Ayuh perbaharui niat. Belajar kerana Allah. Moga pengembaraan menimba ilmu ini sentiasa dalam keredhaanNya.. ^_^





2 comments:

nor amira said...

Belajarlah kerana Allah..
Belajarlah untuk Islam..
^^.

~SEORANG HAMBA~ said...

btul! i'Allah~
moga kita sma2 dberi kekuatan dan smangt.. ;)