Tuesday, April 26, 2011

Ayuh duduk BERIMAN SEJENAK.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Rabb sekalian alam. Sedikit perkongsian yang di ambil dari muqaddimah Al-munthalaq hasil tulisan Muhammad Ahmad Al-Rasyid. 

Hari-hari yang penuh kesibukan.
Perkaitannya dengan hari-hari yang kita lalui yang  mana memang  terlalu menyibukkan. Hingga kadangkala kita lupa dan keliru dengan apa yang kita sibukkan. 
‘‘ Untuk apa kita ke kelas? Untuk apa assignment disiapkan? Untuk apa kita makan? Untuk apa kita berukhwah? Untuk apa? Dan untuk apa? ‘’ 
Bila semuanya sudah jadi kebiasaan, kita lupa untuk mengingatkan diri tujuan setiap apa yang dilakukan, kita lupa untuk tajdid niat niat kita ( memperbaharui niat ) sebelum memulakan sesuatu dan di akhirnya hanya kepenatan yang diperoleh.


Kadang-kadang kita biarkan diri menghabiskan sebahagian besar masa dalam perkara-perkara yang  remeh, kurang utama atau terhadap perkara yang kita sendiri keliru untuk apa ia dilakukan. Betul ke? Sedangkan mungkin kita tidak perasan ada perkara yang lebih besar dan penting untuk dilaksanakan yang kita abaikan.


Jiwa perlukan ketenangan
Dan di saat ini jiwa kita memerlukan kerehatan. Jiwa kita perlukan ketenangan. Untuk membina semula iman dan himmah (semangat) supaya dapat membina  kekuatan dan mengingatkan diri dengan tujuan asal diciptakan, tujuan setiap amal perbuatan yang kita lakukan.


Sedar atau tidak sesungguhnya inilah hakikat kehidupan kita yang sebenar. Setiap masa dan ketika kita akan terdedah dengan dua tarikan sama ada tarikan keimanan atau kekufuran. Tarikan keimanan yang dapat membersihkan hati dan jiwa kita atau tarikan kekufuran yang akan menjadikan kita terus lalai dibuai keindahan dunia dan menyebabkan kita berada dalam kemalasan, dan panjang angan-angan.


Kita punya kuasa dan hak terbesar untuk memilih jalan hidup kita. Memang benar terkadang kita akan terjatuh dari landasan, lalai dari suruhan dan melanggar laranganNya. Al imanu yazidu wa yankuz. ( Iman manusia ini ada turun dan naiknya )


Halaqah itu penting
Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman harus mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain supaya kita lebih jelas akan tujuan hidup kita yang sebenar. Supaya kita tidak melakukan sesuatu perkara yang sia-sia yang hanya mengundang kepenatan.


Siapa tahu, mungkin sesaat yang kita habiskan untuk menghadiri majlis ilmu itu akan membawa kita kepada satu kesedaran, menyentuh jiwa untuk mendapat hidayah dan kemudiannya terbina keimanan yg kukuh. Siapa tahu..? Mungkin detik itu Allah jadikan untuk membuka hati kita yg kelabu. Siapa yang boleh menduga? Usah putus asa dalam mencari sesaat itu. ^_^


Duduk beriman sejenak
Mu’az bin Jabal – mengingatkan sahabatnya: 

إجلس بنا نؤمن ساعة 

(Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).



Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya: 

(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).


Jika kita sama-sama perhatikan, bagaimana para sahabat yang hidup sezaman dengan rasulallah masih mengingatkan diri mereka dan sahabat-sabahat lain untuk duduk sebentar dan beriman sejenak. Walaupun rasulallah berada bersama-sama, walaupun mereka hidup dalam suasana yang soleh, mereka masih memperuntukkan masa untuk beriman mengingati Allah, kerana mereka juga manusia yang punya turun naik imannya.


Muhasabah diri, kita tidak punya rasulallah bersama-sama kita, bagaimana diri masih sombong terhadap Allah, tidak mampu memberikan masa untuk mengingati Nya?? Dan masih membiarkan diri untuk terus lalai dibuai keindahan dunia. 


MARI KITA DUDUK SEBENTAR…

KITA BERIMAN SEJENAK…

No comments: